NATIONAL

11 lelaki ditahan judi laga ayam di Terengganu

Bernama 24/05/2025 | 02:50 MYT
Polis menahan 11 individu termasuk seorang warga Indonesia dalam Op Dadu kerana terbabit dalam aktiviti pertaruhan menggunakan haiwan, semalam. - Gambar hiasan
KUALA TERENGGANU: Polis menahan 11 individu termasuk seorang warga Indonesia dalam Op Dadu kerana terbabit dalam aktiviti pertaruhan menggunakan haiwan, semalam.
Ketua Polis, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, ketika tangkapan, kesemua suspek yang berusia antara 32 hingga 56 tahun, sedang leka menyabung ayam di belakang sebuah rumah di Kampung Atas Tol, di sini kira-kira 12.30 tengah hari.
Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas empat ekor ayam jantan, sebuah bon laga ayam, wang tunai sebanyak RM5,823 dan sebuah beg yang mengandungi jarum, benang serta pembalut perubatan berwarna merah.
"Op Dadu ini dijalankan hasil risikan sepasukan anggota Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri.
"Hasil ujian air kencing mendapati semua suspek negatif dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 32 (1) Akta Kebajikan Haiwan 2015.
-- BERNAMA
#judi #laga ayam #Op Dadu #aktiviti pertaruhan