MALAYSIA

11 menara telekomunikasi di Pantai Barat Sabah perlu tindakan segera - Fahmi

Bernama 26/09/2025 | 07:20 MYT
Fahmi menyampaikan bantuan pasca banjir kepada kakitangan Kementerian Komunikasi dan komuniti MADANI yang terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini. - Foto Bernama
KOTA KINABALU: Sebelas menara telekomunikasi di Pantai Barat Sabah termasuk di Kota Kinabalu dan Penampang, dikenal pasti memerlukan kerja pengukuhan struktur tapak segera bagi memastikan bekalan elektrik dan rangkaian komunikasi kekal stabil ketika berlakunya bencana seperti banjir atau tanah runtuh.


Ringkasan AI
  • 11 menara telekomunikasi di Pantai Barat Sabah termasuk Kota Kinabalu dan Penampang perlu pengukuhan struktur segera untuk kekal stabil semasa bencana seperti banjir dan tanah runtuh.
  • MCMC diminta teliti trend gangguan elektrik, menara berisiko akan dilengkapi set jana kuasa atau solar; pemasangan side hardening dijangka siap dalam beberapa bulan.
  • PRIME sebagai sokongan komunikasi bencana, dua unit sudah dilancar di Sabah, satu di Semenanjung, dan unit seterusnya akan ditempatkan di Sarawak untuk pastikan kesalinghubungan semasa kecemasan.


Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata selain menara yang berisiko terjejas semasa Monsun Timur Laut, keutamaan juga akan diberikan kepada menara yang kerap mengalami gangguan bekalan elektrik.

"Baru-baru ini di sebelah timur Sabah ada masalah bekalan (elektrik) yang terputus dan antara yang terkesan adalah menara-menara telekomunikasi. Saya telah minta supaya pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meneliti jumlah terkesan sepanjang dua tahun lepas untuk kita lihat trend gangguan.

"Berdasarkan maklumat itu, saya minta supaya menara-menara yang terkesan, paling kerap mengalami gangguan elektrik dilengkapi bantuan seperti set jana kuasa atau solar," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Panca Banjir: Ihsan Komuniti MADANI kepada 219 penerima ahli Komuniti MADANI dan warga kementerian di Sabah di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi di sini hari ini.

Fahmi berkata gangguan elektrik turut memberi kesan kepada operasi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), justeru kerja pengukuhan struktur tapak di menara terlibat dijangka dapat dilakukan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME), Fahmi berkata unit seterusnya akan dilancarkan di Sarawak.

PRIME berperanan sebagai unit sokongan mudah alih yang digerakkan ketika bencana bagi memastikan kesalinghubungan Internet dan komunikasi berfungsi untuk membantu pasukan keselamatan serta penyelamat.

Pada 7 Sept lepas, dua unit Prime telah dilancarkan di Sabah manakala satu di Semenanjung sebagai usaha meningkatkan kesiapsiagaan komunikasi semasa bencana khususnya di kawasan yang mengalami gangguan atau ketiadaan talian Internet.

-- BERNAMA




#menara telekomunikasi #pantai barat sabah #Fahmi Fadzil #banjir #tanah runtuh #pengukuhan struktur tapak segera