Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

11 pekerja sesak nafas, pedih mata akibat tumpahan bahan kimia di kilang

Bernama 09/10/2025 | 11:30 MYT
Siasatan mendapati kebocoran berlaku pada sistem paip, menyebabkan kira-kira 15 liter bahan kimia tertumpah. - Foto Sinar Harian
IPOH: Sebanyak 11 pekerja sebuah kilang di Bandar Proton City, Tanjong Malim kira-kira 133 kilometer dari sini, mengalami sesak nafas dan pedih mata selepas terdedah kepada tumpahan bahan kimia jenis isosianat tengah hari tadi.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata sembilan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 2.42 petang.

"Siasatan mendapati kebocoran berlaku pada sistem paip, menyebabkan kira-kira 15 liter bahan kimia tertumpah.

"Semua mangsa telah dihantar ke klinik berhampiran sebelum pasukan bomba tiba," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ketua operasi berhubung dengan pasukan Hazmat bagi mendapatkan nasihat serta prosedur kerja pembersihan.

"Kebocoran berjaya ditutup dan kerja pembersihan dijalankan menggunakan pasir di kawasan terjejas," katanya sambil menambah kerja-kerja pembersihan dan kawalan tumpahan masih diteruskan di lokasi kejadian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim DSP Suhaimi Muhamad dalam kenyataan berasingan berkata polis menerima makluman daripada Klinik Kesihatan Tanjung Malim berkaitan insiden itu kira-kira 2.20 petang tadi.

Beliau berkata klinik itu melaporkan perkara berkenaan selepas mereka menerima beberapa mangsa yang mengatakan terhidu bahan kimia di sebuah kilang pembuatan polimer di Proton City.

"Dalam kejadian itu, seramai 23 mangsa lelaki warga tempatan telah terlibat dan menerima rawatan akibat terhidu insiden kimia (isosianat) ketika melakukan kerja-kerja penyenggaraan di situ.

"Kesemua mangsa yang berumur antara 19 ke 45 tahun kemudiannya dihantar ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan lanjut dan kesemua mereka dalam keadaan stabil," katanya.

Suhaimi berkata pihak bomba telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta nyahcemar bahan kimia terbabit.

Katanya situasi kini terkawal dan tiada ancaman terhadap keselamatan awam.

-- BERNAMA




#pekerja kilang #Proton City Tanjong Malim #sesak nafas #tumpahan bahan kimia