Seramai 11 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping dikesan menghidap penyakit tibi sejak Jun tahun lepas hingga bulan ini, kata Datuk Dr Mah Hang Soon.

Exco Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baru negeri itu berkata daripada jumlah itu, lapan orang adalah pelajar lelaki manakala selebihnya pelajar perempuan dan kesemuanya berumur 17 tahun.

Katanya kes pertama dikesan pada Jun tahun lepas membabitkan seorang pelajar lelaki yang mempunyai simptom batuk berdarah sebelum disahkan menghidap penyakit tibi dua bulan kemudian.

"Pelajar berkenaan sudah pulih selepas menjalani rawatan manakala 10 lagi masih dalam rawatan sekurang-kurangnya bagi tempoh enam bulan," katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke MRSM di sini hari ini.

Katanya, ia merupakan kes tibi yang pertama dikesan di MRSM Taiping, namun masih terkawal dan pihaknya sedang mengenal pasti punca sebenar penyakit itu.

Menurut Dr Mah, pihaknya telah memeriksa kesihatan anggota keluarga mangsa dan hasil pemeriksaan mendapati mereka tidak menghidap penyakit tibi.

Sehubungan itu, beliau berkata langkah pencegahan sedang dilakukan di asrama sekolah berkenaan bagi memastikan keadaan persekitaran bersih dan pengudaraannya baik serta mencukupi.

"Ibu bapa juga dinasihatkan agar membawa anak mereka mendapatkan suntikan imunisasi ketika kecil kerana sebanyak 50 kes di Perak dikesan tidak mendapat suntikan itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mah berkata sebanyak 453 kes tibi membabitkan 14 kematian dilaporkan di Perak bagi tempoh Januari hingga April tahun ini manakala 1,666 kes dengan 69 kematian dilaporkan tahun lepas sementara 1,657 kes dengan 64 kematian pada 2015. -- BERNAMA