JAWI: Seramai 11 warga Indonesia, termasuk dua wanita, direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes samun berkawan bersenjatakan parang yang menyasarkan rumah kongsi warga Indonesia di sekitar Pulau Pinang.
Perintah tahanan reman berkenaan dikeluarkan oleh Majistret Nurul Ainna Ahmad di Mahkamah Majistret Jawi, di sini, pagi tadi, berkuat kuasa mulai hari ini hingga 16 April depan.
Advertisement
Kesemua suspek yang memakai pakaian lokap berwarna oren tiba di mahkamah kira-kira jam 8.50 pagi.
Suspek berusia antara 27 hingga 44 tahun itu ditahan dalam beberapa operasi berasingan di Pulau Pinang dan Perak.
Lima daripada mereka ditahan di Ipoh, tiga di Sungai Bakap dan tiga lagi di Simpang Ampat sekitar jam 12.40 pagi.
Mereka dipercayai terlibat dalam lima kes samun bersenjata yang menyasarkan rumah kongsi di tapak pembinaan sekitar negeri ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi Khamis, enam lelaki bertopeng dan bersenjatakan pisau serta parang dilaporkan menceroboh tapak penginapan pekerja sebelum mengugut mangsa.
Suspek turut dipercayai mengikat tangan dan kaki mangsa menggunakan pengikat kabel sebelum melarikan pelbagai barangan berharga, termasuk 13 telefon bimbit, tiga utas rantai dan sepasang subang emas yang dianggarkan bernilai RM35,000, selain wang tunai berjumlah RM7,190.