MELAKA: Kira-kira 1,100 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat menyertai Fun Walk Jiwa Merdeka Hang Tuah Jaya (HTJ) 2.0 di Kompleks Belia dan Sukan Melaka (KOMBES), Ayer Keroh malam tadi, dalam usaha menyemarakkan semangat patriotisme bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abdul Halim berkata, penyertaan pada edisi kedua program itu kian meningkat berbanding tahun lepas, sekali gus membuktikan sambutan menggalakkan masyarakat terhadap aktiviti yang menyatukan pelbagai lapisan komuniti.
“Ini anjuran kali kedua dan Alhamdulillah sambutan amat menggalakkan. Program ini bukan sekadar aktiviti rekreasi, sebaliknya menjadi platform untuk mengukuhkan perpaduan, mengeratkan ukhuwah serta memupuk keharmonian dalam kalangan masyarakat.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang membawa keluarga, rakan-rakan serta yang datang dari jauh dan dekat untuk memberikan sokongan kepada Fun Walk Jiwa Merdeka,” katanya kepada Bernama selepas program tersebut, di sini, malam tadi.
Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata, pelbagai aktiviti lain turut dilaksanakan bagi sambutan Bulan Kebangsaan di Parlimen Hang Tuah Jaya, termasuk edaran Jalur Gemilang serta program berskala kecil yang memberikan penekanan terhadap pengertian dan penghayatan kemerdekaan.
“Selain Fun Walk Jiwa Merdeka, kita juga edarkan bendera dan laksana beberapa program yang bertujuan memastikan kita bukan hanya semata-mata mengadakan sambutan, tetapi juga pengertian dan penghayatan yang lebih mendalam seperti forum serta pertandingan kecil,” katanya.
Fun Walk Jiwa Merdeka HTJ 2.0 menyusuri laluan sejauh 2.5 kilometer bermula dari KOMBES melalui Jalan Tasik, Jalan Zoo dan Dataran Sejarah sebelum kembali ke lokasi permulaan, dengan enam checkpoint disediakan sepanjang laluan.
Program itu turut mendapat sokongan Jabatan Penerangan Melaka, Akademi Kenegaraan Malaysia, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Komuniti MADANI serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka.
– BERNAMA