Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 115 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan sepanjang Jumaat.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu seramai 111 individu telah dikompaun manakala empat lagi direman.

“Antara kesalahan dikesan termasuk keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan PKPD, gagal merekod butiran diri, premis beroperasi tanpa kebenaran dan tidak memakai topeng pelitup muka,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan menerusi Operasi Benteng juga turut menahan seramai 67 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk merampas dua bot dan lima kenderaan darat.

Setakat semalam, sebanyak 98 sekatan jalan raya telah dilaksanakan melibatkan PDRM, AKSEM, dan juga ATM.

Tegasnya, kerajaan akan mengambil tindakan tegas bagi mana-mana pihak yang cuba memasuki kawasan sempadan negara secara haram khususnya melibatkan lorong-lorong tikus.