SIBU:Sejumlah 116 daripada 214 rumah panjang di Sarawak telah dibebaskan daripada sebarang sekatan atau kawalan pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19 setakat ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penguusan Bencana Negeri Sarawak berkata sekatan itu ditamatkan apabila tiada lagi kes jangkitan virus itu dikesan selepas semua yang terlibat menjalani ujian calitan kedua.

"Setakat ini masih ada 98 rumah panjang yang dikenakan beberapa sekatan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan, dan kita akan terus menyalurkan bekalan makanan kepada mereka yang terlibat," katanya menerusi sesi penstriman secara langsung di laman Facebook, yang dihoskan oleh pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Clarence Ting di sini.

Menurutnya daripada jumlah itu, 68 terletak di bahagian Sibu, dan 'tuai' rumah panjang berkenaan telah diberi kursus serta nasihat mengenai cara menguruskan penghuni rumah panjang masing-masing semasa tempoh pandemik COVID-19 ini.

"Malangnya saya difahamkan beberapa penghuni rumah panjang enggan mendengar nasihat 'tuai rumah' dan mendakwa prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan membuatkan mereka merasa tidak selesa," katanya.

Uggah berkata beberapa penghuni rumah panjang terlibat dilaporkan masih mengadakan perhimpunan walaupun kawasan sekitar rumah panjang mereka dikenakan perintah kawalan pergerakan, dan ia menyebabkan jangkitan virus itu terus merebak.

"Tolong duduk di dalam bilik (rumah) masing-masing bagi tempoh 14 hari sehingga ujian calitan kedua mengesahkan anda negatif COVID-19. SOP ini bukan sengaja diadakan untuk menyukarkan kehidupan semua, tapi ia bertujuan melindungi anda daripada dijankiti virus yang amat mudah merebak ini," katanya.

Uggah berkata mereka tidak seharusnya mengambil sikap terpaksa mematuhi SOP bagi mengelak ditahan atau dikompaun pihak berkuasa, sebaliknya mereka perlu melakukannya sebagai langkah bagi melindungi diri dan orang sekeliling mereka.

Beliau turut menggesa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Kesatuan Dayak Kebangsaan Sarawak (SDNU) memainkan peranan menyebar maklumat bagi membendung penularan COVID-19 dalam kalangan komuniti Dayak.

Untuk rekod, Kluster Pasai di Sibu dan Kluster Seruas di Bakong, Miri, berpunca daripada perhimpunan daripada satu pengebumian.

-- BERNAMA