LANGKAWI: Sebanyak 118 bilik daripada 20 hotel di sekitar Pulau Langkawi dikenal pasti sebagai lokasi yang sesuai untuk proses kuarantin dan pengasingan bagi mana-mana pelancong antarabangsa yang disahkan positif pada kategori 1 dan 2.


Ia bagi tempoh sepanjang pembukaan pulau peranginan itu sebagai destinasi rintis gelembung pelancongan antarabangsa yang bermula hari ini.


Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Nasaruddin Abdul Muttalib menyatakan kesemua bilik hotel terbabit telah menepati garis panduan yang ditetapkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah seperti sistem penghawa dingin yang berasingan dan tidak berkongsi dengan bilik-bilik lain.


"Sekiranya berlaku kes positif COVID-19 dalam kalangan pelancong (antarabangsa), kali ini kita tidak sediakan PKRC swasta di hotel tertentu tetapi kita telah menggariskan ciri-ciri bilik hotel yang sesuai (yang mana) boleh dijadikan pusat pengasingan atau kuarantin untuk pelancong yang didapati positif COVID-19.

"Berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan JKN Kedah, 118 buah bilik daripada 20 buah hotel dikenal pasti layak untuk dijadikan bilik kuarantin sekiranya ada pelancong positif pada kategori 1 dan 2,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika sesi sidang media khas sempena projek gelembung pelancongan antarabangsa di Kompleks Lada, Kuah pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, sebanyak dua buah makmal swasta disediakan di Langkawi bagi melakukan saringan COVID-19 kepada pelancong asing yang akan memasuki pulau peranginan itu sempena gelembung pelancongan antarabangsa bermula hari ini.

Makmal berkenaan akan berfungsi sebagai lokasi bagi pelancong asing untuk melakukan ujian Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) apabila tiba di Langkawi dengan penerbangan terus dan sebelum pulang ke negara asal masing-masing.


Sementara itu Pulau Langkawi dijangkakan tidak akan menerima penerbangan terus dari mana-mana negara dalam tempoh dua minggu meskipun gelembung pelancongan antarabangsa yang dilaksanakan di pulau peranginan itu telah bermula hari ini.


Menurut Nasaruddin, kesemua pelancong yang memasuki Langkawi sepanjang tempoh itu hanya akan menggunakan penerbangan transit menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Setibanya pelancong daripada KLIA, saringan akan dibuat KLIA terlebih dahulu sebelum pelancong ini meneruskan penerbangan mereka ke Langkawi.


"(Berdasarkan SOP gelembung pelancongan antarabangsa) tempoh menginap minima di Langkawi adalah selama 3 hari dan untuk mereka menyambung ke destinasi lain di Malaysia, tempoh berada di Langkawi adalah selama 7 hari, selepas pelancong berada 7 hari di Langkawi mereka dibenarkan untuk menyambung percutian ke destinasi lain di seluruh Malaysia,” katanya lagi.


Beliau turut memaklumkan bahawa perbincangan lanjut berhubung penerbangan terus akan dilakukan bersama syarikat penerbangan Qatar Airways dan AirAsia dalam tempoh terdekat.

Terdahulu, pihak Lada menjangkakan 5,000 pelancong antarabangsa akan ke Pulau Langkawi pada bulan Disember susulan pembukaan pulau peranginan itu sebagai destinasi bagi projek gelembung pelancongan antarabangsa yang bermula hari ini.


22 Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi akan dimulakan pada 15 November  dengan pematuhan beberapa prosedur operasi standard (SOP).

Kumpulan sasaran bagi gelembung pelancongan itu ialah pelancong berkualiti dan individu yang telah lengkap vaksinasi COVID-19.