PUTRAJAYA: Sebanyak 11,835 tandas awam dan sekolah di seluruh negara telah dinaik taraf mengikut standard Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) sejak 2023 menerusi kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata usaha itu merangkumi 1,592 tandas awam di bawah PBT serta 10,243 tandas sekolah di seluruh negara.
“Tandas awam mencerminkan tahap tamadun, budaya kebersihan, imej bandar dan kemajuan sesebuah negara,” katanya menerusi sebuah kenyataan media ketika merasmikan Tandas BMW-i pertama di Malaysia di Dataran Putra, Putrajaya, pada Selasa.
Ia sebagai kesinambungan usaha KPKT mentransformasikan kemudahan awam menerusi penggunaan teknologi pintar.
Tandas BMW-i dilengkapi pelbagai teknologi pintar, termasuk sistem tandas dengan fungsi siraman automatik, pili air dan dispenser sabun tanpa sentuhan serta pewangi pintar berasaskan Internet Benda (IoT).
Kemudahan itu turut menggunakan sensor untuk memantau pencahayaan, kualiti udara, paras ammonia, suhu dan kelembapan.
Selain itu, tandas berkenaan dilengkapi sistem pengiraan pengguna, pengesan asap, sistem pengering dan pembersihan lantai automatik serta panel maklum balas pengguna.
Aplikasi mudah alih untuk menjejak kerja pembersihan dan papan pemuka pemantauan turut disediakan bagi meningkatkan kecekapan operasi serta penyelenggaraan.
“Melalui BMW-i pula, kita mahu menyediakan kemudahan yang bukan sahaja bersih, menawan dan wangi, malah lebih pintar dan selesa untuk orang awam.
“Penggunaan teknologi pintar membolehkan tahap kebersihan dan penyelenggaraan dipantau secara lebih cekap, sistematik dan berterusan demi kesejahteraan rakyat serta meningkatkan imej negara,” jelasnya.
Dalam pada itu, KPKT memaklumkan bahawa daripada 3,940 tandas awam dalam kawasan pentadbiran dan operasi PBT di seluruh negara, sebanyak 3,182 tandas atau 80.8 peratus telah mencapai penarafan empat bintang dan ke atas.
Sementara itu, KPKT akan menganjurkan Majlis Anugerah Tandas Terbaik (TOTYA) 2026 pada 20 Oktober ini bagi mengiktiraf pihak yang menunjukkan komitmen dan pencapaian cemerlang dalam meningkatkan kebersihan serta kualiti tandas awam.
Anugerah itu melibatkan lapan kategori, merangkumi kompleks beli-belah, stesen minyak, hotel, kawasan rehat dan rawat (R&R), restoran, sekolah, rumah ibadat serta PBT. Jumlah penyertaan meningkat daripada 345 pada 2023 kepada 849 pada 2026, iaitu kenaikan sebanyak 146 peratus.
Nga berkata usaha meningkatkan kebersihan tandas awam akan terus dipergiatkan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2027 kerana kemudahan itu turut mempengaruhi pengalaman dan persepsi pelancong terhadap Malaysia.