KUALA LUMPUR: Seramai 12 klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daripada 14 klien lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan pada Isnin.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Shobah Jamil berkata, daripada jumlah itu, 11 klien dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Papar, Sabah manakala seorang dari PUSPEN Seri Iskandar, Perak.

"Semua klien ini sedang mengikuti program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) di dua PUSPEN berkenaan yang menawarkan modul khas iaitu Program Akses Pendidikan Klien (PAPK) khususnya kepada klien di bawah umur 18 tahun sebagai peluang kebajikan pendidikan.

"Menerusi program PAPK ini, semua klien yang layak akan mengikuti jadual kelas yang sistematik dan diajar oleh guru yang dilantik menerusi Skim Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP) yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dan berpengalaman dalam bidang pendidikan serta bantuan tenaga pengajar daripada Pejabat Pendidikan Daerah," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Shobah yang memangku jawatan Ketua Pengarah AADK memberitahu, program PAPK diperkenalkan AADK pada 2015 bagi membantu klien yang cicir dalam pelajaran ketika menjalani program RPDI di PUSPEN.

"Usaha ini adalah untuk memberi peluang kepada klien bagi memajukan diri dalam aspek akademik dan sijil yang diperoleh ini juga boleh digunakan mereka untuk meneruskan kehidupan sekali gus dapat mengekalkan kepulihan sepanjang hayat.

"Berdasarkan pengalaman kami, ada di antara mereka yang berdepan masalah seperti tidak pandai membaca, mengira, menulis pada awal kemasukan ke PUSPEN.

"Namun selepas mengikuti program PAPK di PUSPEN, mereka beroleh kemahiran tersebut sehingga berjaya lulus dalam SPM. Sebanyak enam mata pelajaran diambil klien AADK iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Sejarah dan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral," tambahnya.

Beliau memberitahu, kesemua klien yang lulus SPM itu berpeluang melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi seperti di Institut Kemahiran Mara (IKM), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), GiatMara Malaysia, dan politeknik.