12 ditahan terlibat pemburuan haram, simpan dua pelanduk

Hilmi Malik
Februari 13, 2021 22:14 MYT
Antara barang rampasan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pemburuan haram. -PGA
SIK: Pasukan Gerakan Am (PGU) Batalion 3 telah menahan 12 lelaki selepas didapati melakukan kegiatan pemburuan haram di kawasan Hutan Rizab Ulu Muda, Kedah pada Sabtu.
Hasil pemeriksaan, kesemua mereka mengaku terlibat dengan kegiatan tersebut termasuk menembak mati seekor pelanduk serta menyimpan seekor lagi yang masih hidup.
Pegawai Pemerintah Batalion 3 Pasukan Gerakan Am, Briged Utara, Superintenden Rosman Kasman berkata kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pemilikan sah ke atas hidupan liar.
“Ketika pemeriksaan terdapat kenderaan pacuan empat roda serta beberapa buah motosikal yang disorok di dalam hutan.
“Mereka membuat pengakuan menembak mati pelanduk serta menyimpan haiwan tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.
Op Khazanah | 12 ditahan lakukan pemburuan haram
Serbuan yang disertai pihak Jabatan Perhilitan menerusi Op Khazanah itu telah merampas beberapa peralatan memburu antaranya dua laras senapang patah, 10 butir peluru, serta satu unit GPS.
Kesemua barang rampasan berkenaan dianggarkan berjumlah RM25,000.
Kes disiasat mengikut Seksyen 60 (1)(A) Akta 716 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.
#Op Khazanah #PGA #pelanduk #pemburuan haram #Perhilitan #Hutan Rizab Ulu Muda #Rosman Kasman #dokumen pemilikan sah #hidupan liar