KUALA LUMPUR: Sebanyak 12 kawasan di seluruh negara merekodkan suhu panas tahap berjaga-jaga sehingga jam 6 petang tadi, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

MetMalaysia memaklumkan, di Semenanjung kawasan terlibat ialah sembilan lokasi di Kedah (Pulau Langkawi, Padang Terap, Sik, Baling, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Kulim), Perlis dan Kuala Kangsar, Perak, manakala di Sabah pula membabitkan Beaufort.

"Amaran berkenaan dikeluarkan susulan suhu maksimum harian dijangka mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut berdasarkan rekod yang dicatatkan setakat jam 4 petang hari ini.

“Untuk maklumat terkini status cuaca panas harian, boleh rujuk di https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Selain cuaca panas tahap satu, MetMalaysia mengklasifikasikan suhu antara 37 hingga 40 darjah celsius sebagai tahap dua dan lebih 40 darjah celsius sebagai tahap tiga. - Sinar Harian