[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

12 konsesi lebuh raya catat kerugian setakat tahun lepas - Ahmad Maslan

Bernama 26/11/2025 | 10:00 MYT
Sebanyak 12 daripada 33 konsesi lebuh raya mencatatkan kerugian disebabkan kekurangan trafik berdasarkan laporan kewangan tahun lepas. - Gambar hiasan/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sebanyak 12 daripada 33 konsesi lebuh raya mencatatkan kerugian disebabkan kekurangan trafik berdasarkan laporan kewangan tahun lepas, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.


Ringkasan AI
  • 12 daripada 33 konsesi lebuh raya mengalami kerugian disebabkan kekurangan trafik menurut laporan kewangan tahun lepas, termasuk Lebuhraya MEX, KLK, LKSA, DASH, serta SDE.
  • Timbalan Menteri Kerja Raya menekankan perlunya membuat kiraan trafik yang tepat sebelum membina lebuh raya baru bagi mengelak kerugian yang mungkin ditanggung kerajaan.
  • Projek naik taraf jajaran Tol Bandar Baharu ke Sungai Petani masih dalam proses permohonan cadangan, dengan cadangan baru dari Taiping ke Sungai Petani kerana keputusan tidak meluluskan projek asal dari Taiping ke Bukit Kayu Hitam.


Beliau berkata antara lebuh raya yang terlibat ialah Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) serta Lebuhraya Senai-Desaru (SDE).

Turut mencatat kerugian ialah Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE), Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE), Terowong dan Jalan Pengurusan Air Banjir (SMART), Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE) dan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB).

"Jadi, sesiapa yang mencadangkan pembinaan lebuh raya baharu perlu membuat kiraan dengan tepat. Kalau trafik tidak mencukupi, keuntungan tidak dijamin. Jika tidak menguntungkan, kerajaan mungkin terpaksa menanggung kerugian sekiranya perlu mengambil alih," katanya menjawab soalan tambahan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) mengenai prestasi 33 konsesi lebuh raya di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, berhubung jajaran lebuh raya dari Tol Bandar Baharu ke Sungai Petani yang masih belum dilaksanakan, Ahmad Maslan berkata projek naik taraf tersebut telah dikemukakan permohonan tetapi tidak diluluskan.

"Kenapa tidak diluluskan? Biasanya ia mengikut keutamaan. Lebuh raya ini sebahagian cadangan Northern Corridor Highway (NCH). Projek asal dicadang dari Taiping ke Bukit Kayu Hitam, namun didapati tidak berdaya maju.

"Oleh itu, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri mencadangkan jajaran Taiping-Sungai Petani. Setakat ini ia masih dalam proses permohonan cadangan (RFP). Belum dibuka, belum ditutup, kita sedang menunggu," katanya.

Beliau berkata sebelum ini RFP untuk jajaran Bukit Kayu Hitam tidak menerima sebarang permohonan, menyebabkan jajaran dipendekkan ke kawasan yang lebih berdaya maju seperti Taiping-Sungai Petani.

-- BERNAMA






#syarikat konsesi lebuh raya #alami kerugian #Ahmad Maslan #Dewan Rakyat