KUALA KANGSAR: 12 individu termasuk dua lelaki beragama Islam ditahan setelah dipercayai terbabit dalam aktiviti perjudian laga ayam di sini, pada petang Ahad.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Omar Bakhtiar Yaacob, tangkapan itu dibuat dalam satu serbuan menerusi Op Dadu pada jam 4.45 petang.

"Tangkapan itu dibuat oleh sepasukan polis dari Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.

"Hasil operasi yang dijalankan, pihak polis telah menahan 12 lelaki yang terdiri daripada tujuh lelaki Cina, empat lelaki India dan seorang lelaki Melayu.

"Kesemua mereka berusia dalam lingkungan 32 hingga 64 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti judi laga ayam," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Omar Bakhtiar berkata, polis turut merampas satu unit kain kanvas, 20 batang besi pancang, dua unit taji sabung ayam, satu unit penimbang elektronik, satu meja besi, enam kerusi plastik, 11 sangkar ayam, satu unit kotak kayu, lima kelambu ayam, 14 ekor ayam laga dan wang tunai berjumlah RM5,852.

"Kesemua tangkapan telah direman selama tiga hari mulai Isnin hingga 20 Mac bagi siasatan lanjut," katanya.

Sehubungan itu, katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953/Seksyen 32(1) (a) dan Seksyen 32(2) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015.