MALAYSIA
12 projek pembinaan fasiliti kesihatan siap dibina - KKM
Dzulkefly menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan projek mengikut sasaran. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Sebanyak 12 daripada 41 projek pembinaan fasiliti kesihatan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) bagi tahun ini telah siap dibina setakat 16 Jun lepas, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).
Menerusi kenyataan pada Khamis, KKM memaklumkan, enam daripada 12 projek siap itu akan diserahkan secara rasmi oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) kepada KKM tidak lama lagi khususnya Hospital Pasir Gudang, Johor pada 29 Jun ini.
"Baki 29 projek dalam fasa pelaksanaan," demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan sempena mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian (MTPK) KKM dipengerusikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Mesyuarat MTPK KKM bertujuan menilai prestasi pelaksanaan projek pembangunan kesihatan, menyemak status projek semasa, serta menyelaras hala tuju penutup RMKe-12 merangkap persiapan awal KKM bagi RMKe-13.
KKM memaklumkan, tahun ini merupakan tempoh pecutan akhir bagi mencapai sasaran RMKe-12 yang memperuntukkan RM6.74 bilion bagi pelaksanaan 290 projek baharu dan 389 projek sambungan, menjadikan jumlah keseluruhan pembangunan sejak 2021 mencecah RM25.84 bilion.
"Setakat 16 Jun lepas, prestasi perbelanjaan pembangunan KKM berada pada tahap 26.86 peratus iaitu masih di bawah purata nasional, sebanyak 36.31 peratus," menurut kenyataan itu.
KKM memaklumkan, mesyuarat juga membincangkan hala tuju dan tindakan lebih tegas bagi memastikan projek-projek disempurnakan mengikut jadual.
"Ia termasuk penilaian semula terhadap keupayaan kontraktor oleh KKR melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku Agensi Pelaksana Projek Pembanguan bagi menentukan tindakan intervensi yang sewajarnya selain pemantauan yang lebih rapi," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Dzulkefly dalam kenyataan sama menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan projek mengikut sasaran dan pada masa yang sama memandang serius sebarang kekhilafan dan kelemahan dalam pengurusan serta tatakelola projek pembangunan KKM.
"Pengurusan Tertinggi KKM serta pihak yang terlibat diingatkan untuk melaksanakan amanah dengan lebih telus, cepat dan bertanggungjawab tanpa menjejaskan akses serta kualiti perkhidmatan kesihatan kepada rakyat," katanya.
-- BERNAMA