MALAYSIA

12,000 tumbuhan berbunga serikan Labuan sempena Festival Flora Borneo 2025

Bernama 12/07/2025 | 04:35 MYT
Sebanyak 12,000 tumbuhan hiasan melibatkan 24 spesies telah diterbangkan ke Labuan sempena penganjuran Festival Flora Borneo (BFF) 2025, sekali gus menyemarakkan suasana pulau ini menjelang acara yang dinanti-nantikan itu.
LABUAN: Sebanyak 12,000 tumbuhan hiasan melibatkan 24 spesies telah diterbangkan ke Labuan sempena penganjuran Festival Flora Borneo (BFF) 2025, sekali gus menyemarakkan suasana pulau ini menjelang acara yang dinanti-nantikan itu.

Jurucakap Perbadanan Putrajaya berkata, tumbuhan berkenaan yang dibawa khas dari pelbagai lokasi di Semenanjung Malaysia bertujuan menambah kepelbagaian persembahan flora serta menarik perhatian pengunjung dengan keunikan dan keindahan masing-masing.

Penghantaran tumbuhan dilakukan secara berperingkat menerusi empat penerbangan khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara Subang ke Pangkalan Udara Labuan, bermula minggu lalu hingga hari ini.

Kumpulan kedua tiba kira-kira pukul 10 pagi tadi, manakala TUDM turut membawa pelbagai kelengkapan dan bahan sokongan diperlukan bagi persiapan festival berkenaan.

BFF 2025 merupakan inisiatif bersama Jabatan Wilayah Persekutuan, Perbadanan Labuan, Perbadanan Putrajaya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Festival selama lima hari itu akan berlangsung dari 26 hingga 30 Julai di Kompleks Sukan Air Antarabangsa Labuan dan dijangka menarik pengunjung dari seluruh rantau ini.

Menyerikan acara tersebut, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dijadual berkenan merasmikan majlis pembukaan pada 26 Julai.

Selain menampilkan keindahan seni florikultur, festival ini turut bertujuan mempromosikan ekopelancongan, kelestarian alam sekitar serta memperkukuh kerjasama antara tiga Wilayah Persekutuan iaitu Labuan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

-- BERNAMA





#Festival Flora Borneo #tumbuhan berbunga #Perbadanan Labuan #Raja Permaisuri Agong #Raja Zarith Sofiah