Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

12,645 usahawan India terima manfaat pembiayaan KUSKOP - Ramanan

Bernama 18/11/2025 | 13:45 MYT
Ramanan menjawab soalan ketika Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Majlis Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Seramai 12,645 usahawan India telah menerima manfaat daripada pelbagai program pembiayaan berjumlah RM249.8 juta di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi tempoh 2024 hingga Oktober tahun ini.


Ringkasan AI
  • 12,645 usahawan India terima manfaat pembiayaan RM249.8 juta di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
  • Program seperti SPUMI, PENN, BRIEF-i, dan Vanigham Financing digunakan untuk memperkasakan usahawan India.
  • KUSKOP mempercepatkan proses permohonan pembiayaan dengan kelulusan dalam tempoh tujuh hari berbanding sebelumnya.


Timbalan Menterinya Datuk Seri R. Ramanan berkata inisiatif tersebut merangkumi Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI), Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN), Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) serta Vanigham Financing for Indian Entrepreneurs oleh SME Bank.

"KUSKOP terus komited memperkasakan usahawan di seluruh negara, termasuk usahawan kaum India, selaras dengan Dasar Keusahawanan Negara 2030 dan visi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan sosioekonomi inklusif, seimbang dan mampan," katanya.

Beliau menjawab soalan S. Kesavan (PH-Sungai Siput) mengenai status pelaksanaan inisiatif untuk usahawan India termasuk SPUMI, PENN, BRIEF-i dan Vanigham.

Ramanan berkata KUSKOP turut menambah baik proses permohonan pembiayaan dengan mempercepatkan tempoh kelulusan.

"Sebagai contoh, permohonan pembiayaan di bawah TEKUN Nasional hanya memerlukan salinan kad pengenalan, salinan pendaftaran syarikat, tiga keping gambar premis serta salinan tiga bulan penyata bank rasmi.

"Proses kelulusan juga telah dipertingkatkan, kini hanya mengambil masa tujuh hari berbanding sehingga 21 hari di beberapa institusi kewangan lain," katanya.

-- BERNAMA


#Kuskop #TEKUN Nasional #usahawan India #SPUMI