128 pokok tumbang, 98 lokasi di Seberang Perai terjejas - MPSP

Astro Awani
Ogos 10, 2019 02:02 MYT
Sebanyak 98 lokasi terjejas dengan 128 pokok tumbang di sekitar Seberang Perai dalam kejadian ribut yang melanda Pulau Pinang malam tadi. -Astro AWANI
Sebanyak 98 lokasi terjejas dengan 128 pokok tumbang di sekitar Seberang Perai dalam kejadian ribut yang melanda Pulau Pinang malam tadi.
Menurut jurucakap Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), daripada jumlah itu, sebanyak lima pokok tumbang menghempap rumah penduduk, manakala 120 lagi tumbang dan menghalang lalu lintas termasuk tiga yang menghempap kereta serta tiga lagi di kawasan lapang.
Kejadian ribut itu juga telah mengakibatkan kerosakan bumbung lebih 200 rumah sekitar Seberang Perai.
Katanya, kejadian ribut yang berpunca daripada ekor ribut taufan Lekima itu menyebabkan taburan hujan 53 milimeter dengan kelajuan angin 100.8 kilometer sejam dan berlaku antara 10.30 malam Jumaat hingga 12.30 pagi Sabtu.
Setakat ini tiada kejadian banjir dilaporkan berlaku dan petugas MPSP giat menjalankan kerja-kerja pembersihan sejak jam 10.30 malam tadi.
Dalam pada itu, sebanyak dua pusat pemindahan dibuka di Seberang Perai Tengah iaitu di Masjid Kuala Juru yang kini menempatkan 22 orang daripada empat keluarga.
Sebuah lagi pusat pemindahan di Dewan Kafa Kuala Juru pula menempatkan sembilan orang daripada dua keluarga.
#halang lalu lintas #kerosakan bumbung #Pokok tumbang #ribut #Seberang Perai #Taufan Lekima