KUALA TERENGGANU: Lebih 13,000 petugas Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mula menerima dos penggalak vaksin COVID-19 secara berperingkat, bermula hari ini.

Pengarahnya Datuk Dr Kasemani Embong berkata dos penggalak diberi kepada petugas secara sukarela.

"Paling penting ialah mereka telah melepasi tempoh enam bulan selepas dos kedua.

"Enam hospital kerajaan dan 20 pusat pemberian vaksin (PPV) milik Kementerian Kesihatan di seluruh Terengganu, akan terlibat dengan pemberian dos penggalak kepada anggota kesihatan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Selain itu, pemberian dos penggalak kepada kakitangan barisan hadapan agensi lain dan warga emas, akan diberikan di PPV swasta tidak lama lagi.

-- BERNAMA