KUCHING: Kira-kira 13 pengamal media di Sarawak antara petugas barisan hadapan yang akan diberikan vaksin COVID-19 fasa pertama bermula esok hingga 31 Mac depan.

Menurut Presiden Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA) Jacqueline Radoi David, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah meluluskan permohonan pihaknya untuk mempertimbangkan pengamal media sebagai petugas barisan hadapan dan diberikan vaksin fasa pertama.

"Oleh kerana media memainkan peranan penting dalam penyampaian maklumat kepada masyarakat, sangat penting bagi mereka terutama yang berada di lapangan untuk menjadi antara yang terawal disuntik vaksin COVID-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kumpulan pertama vaksin tiba di Kuching pada petang Rabu di kargo gudang Raya Airways, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) Dr Chin Zin Hing memberitahu lebih 40,000 petugas barisan hadapan di Sarawak akan menerima vaksin Covid-19 pada fasa pertama program imunisasi ini.

Manakala anggota media yang lain akan divaksin dalam fasa kedua dan ketiga yang akan bermula 1 April depan dan mereka digalakkan untuk mendaftar melalui aplikasi MySejahtera.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan menjadi individu pertama divaksin di negeri tersebut esok serta beberapa petugas barisan hadapan lain seperti pemvaksin.