[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
MALAYSIA

13 syarikat di bawah MBI Selangor berjaya siapkan pelan pencegahan rasuah

Bernama 16/12/2025 | 09:20 MYT
Saipolyazan berkata, OACP penting dalam memastikan tadbir urus yang baik serta membendung risiko rasuah dalam syarikat. - Gambar fail
KLANG: Sebanyak 13 syarikat di bawah Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI Selangor) berjaya menyiapkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP), sekali gus memperkukuh amalan tadbir urus yang baik serta membendung risiko rasuah dalam organisasi masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor Datuk Saipolyazan M Yusop berkata OACP bermula dengan lima syarikat milikan agensi itu pada 2023, diikuti enam lagi syarikat dilancarkan tahun lepas serta dua lagi syarikat iaitu Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) dan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) hari ini.

Beliau berkata, OACP penting dalam memastikan tadbir urus yang baik serta membendung risiko rasuah dalam syarikat.

"Justeru, saya menyeru agar syarikat milikan MBI Selangor yang masih belum menghasilkan OACP segera mempercepat usaha itu.

"Insya-Allah pasukan Integriti dan Governans (IG) MBI akan membantu dan membimbing syarikat-syarikat milikan MBI Selangor daripada awal proses mewujudkan Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) sehingga syarikat milikan itu mampu melancarkan OACP tersendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Integriti Kumpulan MBI Selangor 2025 di sini hari ini, yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor merangkap Ahli Lembaga Pengarah MBI Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Saipolyazan turut meluahkan rasa bangga terhadap kejayaan MBI Selangor meraih Anugerah ESG Plus 2025 bagi kategori Anugerah Kepimpinan Tadbir Urus dan Etika: Tadbir Urus Korporat dan Etika di Kuala Lumpur pada 10 Dis lepas.

Beliau berkata pengiktirafan itu bukan sekadar penghormatan tetapi bukti MBI Selangor berada di landasan yang tepat dalam memperkukuh tadbir urus, membudayakan integriti serta membina keyakinan pihak luar terhadap syarikat itu.

"Lebih penting lagi, apabila kami sering berdepan tohmahan berkaitan integriti dan rasuah, pencapaian ini menjadi hujah kukuh bahawa sistem tadbir urus kami teratur dan langkah pencegahan telah dilaksanakan.

"Kami tidak sekadar bercakap tentang integriti, kami membuktikannya. Inilah masa untuk kami terus melangkah ke hadapan dengan lebih yakin, menjadikan pencapaian ini sebagai pemangkin untuk memperkukuh budaya integriti di setiap lapisan organisasi," katanya.

Saipolyazan berkata selain daripada kempen kesedaran yang dijalankan bersama anak syarikatnya, MBI Selangor turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memperkemas prosedur dan polisi bagi memastikan tadbir urus yang baik dalam setiap urusan yang dijalankan.

Dalam pada itu, Ahmad Fadzli berkata pelan tindakan yang terkandung dalam OACP perlu dilaksanakan dengan komitmen yang jitu dan bukan hanya sekadar untuk memenuhi arahan.

Beliau berkata perkara berkenaan amat penting susulan gejala rasuah yang tidak ditangani secara sistematik bukan sahaja mampu menyebabkan peningkatan kos, ketirisan hasil dan pengurangan kualiti perkhidmatan malah ia mampu merencatkan pertumbuhan ekonomi negeri ekoran defisit kepercayaan oleh pelabur luar.

Ahmad Fadzli berharap kewujudan OACP bukan disebabkan arahan daripada MBI Selangor semata-mata atau sekadar untuk mempertahankan syarikat daripada implikasi Seksyen 17A Akta SPRM 2009 sahaja.

"Apa yang kami sasarkan adalah untuk mencapai objektif sebenar OACP, iaitu menangani permasalahan dan kelemahan governans, integriti dan antirasuah dalam organisasi secara efektif," katanya.

-- BERNAMA



#MBI #Rasuah #Saipolyazan M Yusop #integriti