Seramai 137 guru tabika yang menyertai kursus dua hari di sebuah pusat latihan di Cheras di sini, disyaki mengalami keracunan makanan awal pagi ini.

Timbalan Pengarah Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hafizudin Muhamed Nor berkata, daripada jumlah itu, empat guru berkenaan dibawa ke unit kecemasan selepas mengadu sakit perut dan cirit-birit serta muntah.

Menurutnya, kejadian dilapor selepas mereka dipercayai mengambil makanan pada malam semalam dan mula mengalami cirit-birit serta muntah bermula kira-kira 3 pagi.

"Masih ada guru yang dirawat oleh sepasukan doktor yang bergegas ke tempat kejadian pagi tadi," katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Canselor Tuanku Muhriz,

Setakat ini, semua guru yang terlibat masih menerima rawatan dan berada dalam keadaan stabil.

Difahamkan, kira-kira 200 guru Pasti menyertai kursus itu dan menikmati makanan dipercayai bubur kacang malam tadi yang dihidangkan di pusat latihan berkenaan. - BERNAMA