JOHOR BAHRU: Seramai 14 ahli sindiket pengedaran dadah termasuk seorang warga asing yang dipercayai dalang, ditahan bersama dadah bernilai RM1.67 juta dalam operasi khas di negeri ini pada 5 hingga 14 Januari lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata individu berusia 21 hingga 48 tahun itu, ditahan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor dalam sembilan serbuan berasingan di sekitar Kulai, Iskandar Puteri, Seri Alam dan Mersing.

Beliau berkata kesemua yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita tempatan, manakala enam lelaki dan dua wanita pula merupakan warga asing.

"Modus operandi sindiket ini adalah dengan menjadikan kondominium 'gated and guarded' iaitu kawasan berpagar dan berpengawal sebagai stor simpanan dadah serta membungkus dadah sebelum diedarkan.

"Seorang warga asing memakai sebuah kereta mewah yang turut ditahan dipercayai antara dalang sindiket ini. Bagaimanapun, kami sedang menyiasat untuk mengesan ketua sindiket dan kenal pasti rantaian sindiket ini," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut merampas 70,004 biji pil erimin 5; 54.7 gram syabu; 19 biji pil ekstasi; 3.7 gram heroin; 2.4 gram ketamin dan satu gram ganja.

Kamarul Zaman berkata turut disita sebuah kereta mewah jenis Maserati bernilai RM300,000; pelbagai barang kemas bernilai RM44,441 dan seutas gam tangan bernilai RM45,000.

Beliau berkata dadah yang dirampas itu dipercayai untuk edaran pasaran tempatan termasuk pusat hiburan.

"Kalau kita lihat jenis dadah yang dirampas seperti erimin 5, ia merupakan dadah penenang dan kebiasaannya digunakan untuk mereka yang berhibur di pusat hiburan," katanya.

Kamarul Zaman berkata hasil ujian saringan air kencing juga mendapati sembilan individu positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin serta mempunyai rekod lampau.

Beliau berkata kesemua 14 individu itu direman selama tujuh hari bermula 15 Jan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA