Skip to main content

Malaysia

14 lelaki didakwa bunuh remaja di Gurun

Kesemua tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Gurun pada Khamis atas dakwaan membunuh Muhammad Haikal, minggu lalu. -Foto Sinar Harian
Kesemua tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Gurun pada Khamis atas dakwaan membunuh Muhammad Haikal, minggu lalu. -Foto Sinar Harian

Advertisement

GURUN: Sebanyak 14 lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang remaja, minggu lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua mereka selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Anis Suraya Ahmad memandangkan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka ialah Muhammad Asyraaf Muhammad Zaidi, 20; Muhammad Azrul Rahimi Muhamad Yusri, 18; Ahmad Izzul Irfan Ridduan, 21; Muhammad Rhahimy Abdul Rashid, 19; Yusman Hakimi Yusmezal, 24; Muhammad Zulfaqar Zulkarnain Khairol Fais, 21, dan Muhammad Aiman Riduwan Abdullah, 21.

Yang turut didakwa ialah Ahmad Aiman Danial Ahmad Wizam, 21; Muhammad Adam Haris Rosdan, 21; Muhammad Muqkriz Azizan, 21; Muhammad Adam Iqbal Mohd Wazir, 19; Syafiq Afif Syarafuddin Abd Ghapar, 23, serta dua remaja berusia 16 dan 17 tahun.

Kesemua mereka didakwa bersama-sama membunuh Muhammad Haikal Mohd Shahrilnizam, 19, antara 9 malam 5 Okt dan 7.30 pagi 8 Okt di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Sungai Petani, di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Nik Nurhazirah Tuan Yahya manakala peguam Mohamad Ashraf Ahmad Sohaimi mewakili Muhammad Azrul Rahimi, Ahmad Izzul Irfan dan Muhammad Zulfaqar Zulkarnain sementara tertuduh lain tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 23 Dis untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan forensik.

Sebelum ini, Muhammad Haikal dipercayai dikurung dan diseksa selama dua hari sebelum mayatnya dibuang di tepi semak berhampiran Jalan Harvard Golf Club di sini pada 8 Okt.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement