14 pelancong Korea Selatan terkandas empat jam di sungai

Sinar Harian
Julai 7, 2023 01:45 MYT
Antara pelancong Korea Selatan yang diselamatkan selepas bot mereka naiki tersangkut pada pokok nipah di Sungai Bolong, Tuaran.
TUARAN: Seramai 16 individu termasuk 14 pelancong Korea Selatan terkandas kira-kira empat jam selepas bot yang mereka naiki tersangkut pada pokok nipah dalam kejadian di Sungai Bolong di sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam, bot itu membawa pelancong yang terdiri daripada sembilan wanita dan empat lelaki dewasa bersama seorang lagi kanak-kanak lelaki serta dua jurupandu bot berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohd Abd Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.50 malam.
Katanya, seramai 10 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh tujuh kilometer dari BBP Tuaran.
"Menurut laporan, bot pelancong itu tersangkut pada pokok nipah akibat keadaan arus sungai yang deras ketika itu.
"Pasukan bomba kemudian memindahkan kesemua pelancong dan jurupandu bot ke tebing sungai dengan menggunakan bot penduduk kampung dan seterusnya diserahkan kepada syarikat pelancongan yang bertanggungjawab untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Katanya lagi, semua mangsa dilaporkan dalam keadaan selamat.
"Pasukan bomba kemudian menamatkan operasi pada jam 12.57 pagi selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi," katanya. - Sinar Harian
#14 pelancong Korea Selatan #pelancong terkandas #Sungai Bolong Tuaran #bot tersangkut