14 rumah musnah dalam kebakaran di Nabawan

Bernama
April 6, 2024 20:50 MYT
Kebakaran menyebabkan kesemua rumah jenis tidak kekal itu musnah 100 peratus dengan anggaran keluasan keseluruhan terbakar 700 meter persegi, namun tidak melibatkan kemalangan jiwa. - Foto JBPM Sabah
NABAWAN: Sebanyak 14 kediaman termasuk dua rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) musnah dalam kebakaran di Kampung Tikandis di daerah Nabawan yang terletak di pedalaman Sabah semalam.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah Shellverinus Julius berkata pasukan bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sook, Keningau dikerah ke lokasi kejadian yang terletak 89 kilometer selepas menerima panggilan pada 9.16 pagi.
Beliau berkata sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Fire Rescue Vehicle (FRV) jenis Triton turut dikerah, bagaimanapun jentera FRT tidak dapat sampai ke tempat kejadian disebabkan keadaan jalan raya rosak, sempit dan tidak berturap.
"Hanya FRV jenis Triton yang berjaya sampai ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran yang berjaya dikawal pada 11.30 pagi dengan menggunakan sumber air terbuka daripada tangki air dan sungai," katanya ketika dihubungi pemberita semalam.
Menurutnya kebakaran menyebabkan kesemua rumah jenis tidak kekal itu musnah 100 peratus dengan anggaran keluasan keseluruhan terbakar 700 meter persegi, namun tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Shellverinus berkata anggota polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta orang ramai turut membantu memadamkan kebakaran hingga tamat operasi pada 2.30 petang.
-- BERNAMA
#kebakaran #Nabawan #rumah PPRT musnah #bomba