MALAYSIA
147 warga asing, tiga tempatan ditahan dalam operasi bersepadu pusat cuci kereta
Kumar berkata operasi itu bertujuan memastikan pematuhan undang-undang oleh pengusaha pusat cuci kenderaan. - Foto fail/BERNAMA
JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan seramai 147 lelaki warga asing dan tiga lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 57 tahun dalam satu operasi bersepadu secara serentak di 64 pusat cuci kenderaan sekitar Wilayah Pembangunan Iskandar, pada Rabu.
Ketua Polis Johor CP Datuk M. Kumar berkata operasi itu bertujuan memastikan pematuhan undang-undang oleh pengusaha pusat cuci kenderaan, selain membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin serta aktiviti jenayah lain seperti penyalahgunaan dadah dan perjudian dalam talian.
Beliau berkata kes disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang, antaranya Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas atau permit; Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan sah; dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
"Turut disiasat ialah kes di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 melibatkan kesalahan perjudian dalam talian, serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan melalui ujian saringan air kencing," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata sabit kesalahan bagi peruntukan tersebut boleh membawa hukuman denda sehingga RM100,000, penjara antara dua hingga lima tahun, serta sebatan bagi kesalahan tertentu di bawah undang-undang imigresen.
Operasi itu turut menyaksikan pelbagai tindakan penguatkuasaan lain, termasuk kesalahan menyambung bekalan air secara haram di bawah Seksyen 89(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.
"Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut mengeluarkan kompaun terhadap pengusaha yang gagal mempamerkan papan tanda, memiliki lesen tamat tempoh, dan tidak mencatat nama perakuan perniagaan seperti dikehendaki di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956," katanya.
Menurut Kumar, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga mengambil tindakan dengan mengeluarkan kompaun ke atas kesalahan gagal mempamerkan tag harga mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Sementara itu, pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan penguatkuasaan termasuk menyita peralatan dan mengeluarkan kompaun terhadap premis yang menjalankan perniagaan tanpa lesen, mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2016 serta Seksyen 148 Akta Kerajaan Tempatan 1976.
"Operasi ini berjaya mencapai objektif dalam memastikan pematuhan undang-undang oleh pemilik pusat cuci kenderaan serta membanteras penglibatan pendatang asing tanpa izin dan elemen jenayah lain yang dikenal pasti," katanya.
Beliau menegaskan Polis Johor komited untuk meneruskan kerjasama strategik bersama semua agensi penguat kuasa demi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat negeri ini terus terpelihara.
Operasi bersepadu itu melibatkan penyertaan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, KPDN, Jabatan Tenaga Kerja, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), SSM, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Ranhill SAJ Sdn Bhd.
-- BERNAMA