15 Ahli Parlimen mungkin sokong PN semula jika calon PM daripada UMNO - Jeniri

Hafizi Rosli
Ogos 16, 2021 04:11 MYT
JENIRI: Saya tidak fikir mereka mahu duduk di barisan pembangkang kerana ia akan merugikan PN dan UMNO, sudah pasti mereka tidak mahu hilang kuasa. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Langkah penarikan sokongan 15 Ahli Parlimen UMNO terhadap kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat sebagai strategi kumpulan itu untuk kembali dominan dan memegang jawatan penting kerajaan, termasuk jawatan nombor satu negara, Perdana Menteri.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara Dr Jeniri Amir, berpandangan kesemua Ahli Parlimen yang bersama Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ini akan kembali menyokong Perikatan Nasional (PN) sekiranya calon Perdana Menteri datang dari kalangan ahli UMNO sendiri.
"Saya anggap apa yang dilakukan UMNO ini adalah aturan dan strategi mereka sendiri untuk kembali menjadi dominan dan menjawat jawatan penting dan langkah ini akan menuju ke arah demikian.
"Saya tidak fikir mereka mahu duduk di barisan pembangkang kerana ia akan merugikan PN dan UMNO, sudah pasti mereka tidak mahu hilang kuasa," katanya dalam program Buletin AWANI Khas hari ini.
Jelas beliau, mana-mana pemimpin politik kebiasaannya apabila berkuasa, sudah pasti mahu mengekalkan kuasa.
Beliau menolak kemungkinan 15 Ahli Parlimen ini akan bersama Pakatan Harapan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim di blok pembangkang.
"Manakala bagi pembangkang pula, mereka akan lakukan apa cara untuk dapatkan kuasa, itulah yang dilakukan oleh Pakatan Harapan.
"Dan itu sebab Pakatan Harapan tidak mahu terima tawaran-tawaran oleh Perdana Menteri tempoh hari," katanya.
Terdahulu, 15 Ahli Parlimen dari UMNO menarik sokongan terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebabkan kerajaan PN dipimpin beliau dilihat rapuh dan tidak mempunyai majoriti mudah untuk terus mentadbir kerajaan.
#Muhyiddin Yassin #Pakatan Harapan #UMNO #Zahid Hamidi #pembangkang #Perdana Menteri #ahli Parlimen #Perikatan Nasional #hilang kuasa #letak jawatan #jawatan dalam kerajaan