Skip to main content
Advertisement

Malaysia

15 juta peranti disasar diurus secara lestari menjelang 2030

15 juta peranti, Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Kelestarian 2030, SFR2030.
Fahmi berkata agenda kelestarian perlu menjadi sebahagian daripada pembangunan sektor komunikasi dan multimedia dengan mengambil kira kesan aktiviti serta operasi industri terhadap alam sekitar. -Gambar MCMC
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 15 juta peranti disasar untuk diurus secara lestari menjelang 2030 menerusi Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Kelestarian 2030 (SFR2030).

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata agenda kelestarian perlu menjadi sebahagian daripada pembangunan sektor komunikasi dan multimedia dengan mengambil kira kesan aktiviti serta operasi industri terhadap alam sekitar.

Beliau berkata pembangunan sektor berkenaan tidak seharusnya hanya memberi tumpuan kepada pendapatan dan keuntungan, sebaliknya perlu turut mengambil kira aspek penggunaan tenaga dan kelestarian.

“Penggunaan tenaga dalam sektor pos dan kurier, penyiaran serta telekomunikasi adalah signifikan.

"Jadi, kecekapan dan kemampanan tenaga perlu diberi perhatian serius,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran SFR2030, di sini, pada Isnin.

Image
15 juta peranti, Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Kelestarian 2030, SFR2030.

Menerusi LESTARI, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama pemain industri akan menggerakkan pelbagai inisiatif yang memberi impak kepada rakyat dan alam sekitar menjelang 2030.

Sasaran 15 juta peranti itu merangkumi penggunaan semula, naik taraf, penggantian kepada teknologi lebih cekap serta kitar semula secara bertanggungjawab.

Menurut MCMC, peranti yang masih boleh digunakan akan dibaik pulih dan diguna semula bagi memanjangkan hayat peranti, sekali gus membantu mengurangkan sisa elektronik serta kos pemilikan teknologi.

Pendekatan itu turut bertujuan memperluas akses kepada teknologi, khususnya dalam kalangan golongan rentan dan berpendapatan rendah.

Inisiatif berkenaan dijangka memberi manfaat kepada lima juta rakyat menerusi pelbagai program impak sosial yang dilaksanakan MCMC bersama pemain industri.

Fahmi berkata usaha itu juga selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan sasaran pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050.

LESTARI dibangunkan melalui sesi libat urus melibatkan 116 peserta daripada 47 organisasi dengan tiga teras utama iaitu Kelestarian Iklim dan Alam Sekitar; Impak Sosial dan Keterangkuman; serta Teknologi dan Inovasi.

Image
15 juta peranti, Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Kelestarian 2030, SFR2030.

MCMC turut memperkenalkan Net Zero & Circularity Alliance (NZCA) sebagai platform kerjasama industri bagi mengurangkan pelepasan karbon serta memperluas usaha pengumpulan, penggunaan semula dan kitar semula peranti secara lebih tersusun.

Sebanyak 15 organisasi daripada pelbagai segmen ekosistem digital turut menandatangani ikrar sokongan kepada LESTARI dan NZCA.

Must Watch Video

Advertisement