GEORGE TOWN: Sebanyak 15 operasi pembenihan awan untuk mencetuskan hujan di kawasan tadahan air (KTA) Empangan Air Itam di Pulau Pinang akan dilakukan bermula April hingga Ogos 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Sdn Bhd (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, operasi yang mendapat pengesahan kerajaan negeri itu akan dilaksanakan oleh Badan Kawal Selia Air Negeri (BKSA) serta dibantu PBAPP.

Jaseni berkata, pihaknya telah menulis surat kepada Exco Infrastruktur dan Pengangkutan Negeri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari pada Selasa lepas berhubung permohonan melakukan pembenihan awan di kawasan KTA Empangan Air Itam.

“Zairil memaklumkan, BKSA akan melaksanakan pembenihan awan seperti diminta oleh PBAPP. Dan operasi pembenihan awan akan dilaksanakan dalam tempoh dari April hingga Ogos 2022 dengan tumpuan adalah untuk mencetus hujan secara khusus di KTA Empangan Air Itam," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Jaseni berkata, meskipun terdapat sedikit hujan di Air Itam namun Empangan Air Itam masih berada di bawah “status amaran” kerana kapasiti efektif yang rendah iaitu 39 peratus.

Justeru katanya, pembenihan awan ini diperlukan sebagai pencegahan krisis bekalan air di kawasan Air Itam dan kawasan sekitarnya.

“Pembenihan awan juga akan mengisi semula empangan dengan air mentah sebanyak mungkin sebelum musim hujan September depan," ujarnya.

Pada masa sama, Jaseni berharap operasi itu akan mencapai kapasiti efektif 90 peratus atau lebih tinggi untuk Empangan Air Itam menjelang Disember 2022 sebagai persediaan musim kemarau seterusnya yang sepatutnya bermula dari 1 Januari 2023.

Ia juga bagi membantu memastikan perkhidmatan bekalan air yang baik dan berterusan serta tiada catuan air di Pulau Pinang.