KUALA LUMPUR:Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Melaka mengambil inisiatif menganjurkan program kemasyarakatan berkonsep norma baharu iaitu 'digital volunteering' seiring Bulan Kesukarelawanan Antarabangsa 2020.

Menghimpunkan 150 sukarelawan dalam kalangan penuntut FKPM, Kokorikulum UiTM dan Suspended Mealmereka berjaya mengumpul dana berjumlah RM35,044 untuk disalurkan kepada lebih 550 penerima.

Menerusi jalinan pintar bersama Pertubuhan Bantuan Makanan Malaysia (Suspended Meal Association Malaysia) dan Persatuan Komuniti Usahawan Asnaf Negeri Melaka, mereka mengagihkan bantuan kepada golongan B40, orang kurang upaya selain individu yang hilang pekerjaan disebabkan pandemik COVID-19 di sekitar Kuala Lumpur, Sabah dan Melaka.

Pengasas Suspended Meal, Shafezah Abdul Wahab berkata pelaksanaan program kemasyarakatan dan serahan sumbangan seperti itu tidak akan terhenti ekoran pandemik COVID-19 malah perlu dilalui menerusi norma baharu.

Selain makanan asas, turut disalurkan adalah barangan keperluan pencegahan virus seperti topeng muka dan cecair sanitasi tangan. - Foto Suspended Meal

"Pandemik COVID-19 bukan penghalang gerakan sukarelawan untuk menghulurkan bantuan kepada kelompok sasar. Pelbagai kaedah dalam norma baharu ini dapat dicerap dalam aktiviti kesukarelawanan secara digitalisasi yang mana segala persiapan dan penyelenggaraan dilakukan secara atas talian.

"Profiling data kelompok sasar dikumpul melalui sistem atas talian dan pembelian barangan untuk sumbangan juga dilakukan sepenuhnya secara atas talian. Kemudiannya barangan sumbangan terus dihantar kepada kelompok penerima pada tarikh dan masa yang ditetapkan," katanya.

Menghimpunkan 150 sukarelawan dari kalangan penuntut FKPM, Kokorikulum UiTM dan Suspended Meal mereka berjaya mengumpul dana berjumlah RM35,044 untuk disalurkan kepada lebih 550 penerima. - Foto Suspended Meal

Sementara itu, Ketua Pusat Pengajian FKPM, Aini Faezah Ramlan berkata penglibatan kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa menerusi platform digital ini dapat mendedahkan kepentingan pembangunan inklusif dalam memastikan revolusi digital disebabkan pandemik di seluruh negara dapat disalurkan kepada semua lapisan komuniti di lokaliti berbeza.

Tambah beliau, program itu juga dapat meluaskan jaringan kerjasama antara pelajar dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.

"Apa yang kita harapkan agar para pelajar ini menjadi duta yang mampu memberi tanggapan positif kepada masyarakat menerusi aktiviti kesukarelawanan," katanya.

Profiling data kelompok sasar dikumpul melalui sistem atas talian dan pembelian barangan untuk sumbangan juga dilakukan sepenuhnya secara atas talian. - Foto Suspended Meal

Antara bantuan yang disalurkan mereka termasuk penutup hidung dan mulut, cecair pembasmi kuman, sabun anti-bakteria serta barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, bawang, gula, kopi dan makanan dalam tin.

Penyaluran bantuan itu dilaksanakan mereka sejak 4 Disember hingga 19 Disember lalu.