Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

1,514 mangsa banjir di Perak dan Kedah masih berlindung di PPS

Bernama 27/10/2025 | 15:35 MYT
Seramai 1,514 orang mangsa banjir di Perak dan Kedah masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat malam ini. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Seramai 1,514 orang mangsa banjir di Perak dan Kedah masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat malam ini.

Di PERAK, keadaan banjur dilaporkan beransur pulih apabila di tiga daerah terus menurun kepada 467 orang daripada 136 keluarga berbanding 603 orang daripada 183 keluarga pada petang tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, jumlah mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Matang di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) kekal seramai 27 orang daripada tujuh keluarga.

Sementara itu, 288 orang daripada 83 keluarga masih ditempatkan di PPS SK Sungai Batu, Sekolah Agama Rakyat Padang Serai dan SK Pantai Remis di daerah Manjung.

Bagi daerah Kerian, seramai 152 orang daripada 46 keluarga masih berlindung di Dewan Serbaguna Gunung Semanggol dan SK Parit Haji Aman.

Satu lagi PPS iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Layang-Layang Kiri, Parit di daerah Perak Tengah ditutup sepenuhnya pada 5.30 petang tadi selepas semua 110 mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Di KEDAH, jumlah mangsa banjir kembali meningkat kepada 1,047 orang daripada 311 keluarga malam ini, berbanding 915 orang daripada 267 keluarga petang tadi, dengan kesemuanya ditempatkan di tujuh PPS.

Menurut JPBN Kedah, daerah Pendang merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 544 orang daripada 150 keluarga berlindung di tiga PPS iaitu Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah, SK Ayer Puteh serta SK Tunku Intan Shafinaz yang dibuka pada 4 petang tadi.

Di Kota Setar, seramai 331 orang daripada 92 keluarga ditempatkan di SK Taman Aman dan SK Haji Idris yang dibuka pada 2.30 petang tadi.

Sementara itu, di daerah Kulim, 116 orang daripada 33 keluarga berlindung di PPS Dewan Serbaguna Pokok Sena manakala 56 orang daripada 36 keluarga berada di SK Merbau Pulas.

Menurut laman sesawang Public Infobanjir, Sungai Pendang di Pendang melepasi paras bahaya dengan bacaan 3.49 meter (m), manakala Sungai Padang Terap di Kubang Pasu melepasi paras amaran pada 3.67m.

-- BERNAMA


#mangsa banjir #Perak #Kedah #pusat pemindahan sementara PPS