KUALA LUMPUR: Sebanyak 16 pakej kerja dalam Fasa 1 Projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) sedang dilaksanakan dengan status kemajuan 75 peratus siap pada masa kini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata daripada jumlah itu, sebanyak dua pakej kerja telah dibuka kepada pengguna jalan raya, manakala 13 pakej kerja dijangka siap pada awal 2025.

"Bagi status satu pakej kerja baharu iaitu Pakej Kerja 9 yang melibatkan laluan dari Serusop ke Pituru pula dijangka dilaksanakan seawal suku tahun kedua 2023, menjadikan keseluruhan 16 pakej kerja akan dilaksanakan buat masa kini.

"Kerajaan komited bagi memastikan kelangsungan pelaksanaan Projek LPB ini. Sehubungan itu, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM2 bilion setiap tahun, dengan RM1 bilion diperuntukkan masing-masing kepada projek LPB Sabah dan LPB Sarawak," katanya.

Beliau menjawab soalan Mordi Bimol (PH-Mas Gading) berhubung status terkini serta tempoh jangka siap pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak, serta komitmen kerajaan bagi mengurangkan kemalangan di sepanjang laluan pembinaan itu.

Bagi 10 pakej kerja dari Sematan ke Miri, Abdul Rahman berkata keseluruhan jajaran itu akan siap pada November 2023 kecuali beberapa seksyen di Miri yang perlu direka bentuk semula dan hanya dapat disiapkan pada 2025.

Selain itu, beliau berkata baki 19 Pakej Kerja (Fasa 1B) yang masih belum mula pembinaan akan dibiayai secara hibrid menggunakan peruntukan pembangunan dan melalui terbitan sukuk atau bon oleh DanaInfra Nasional Berhad.

"Projek LPB Sabah Fasa 1B ini akan dilaksanakan dengan tempoh pembinaan selama lima tahun, dan dijangka dimulakan seawal suku ketiga 2023, tertakluk kepada kelulusan agensi pusat," katanya.

Mengenai komitmen kerajaan untuk mengurangkan kemalangan yang berlaku di sepanjang laluan pembinaan, Abdul Rahman berkata pemantauan berterusan turut dilakukan Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya Sabah dan Sarawak bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

-- BERNAMA