16,000 dos vaksin COVID-19 tiba di Pulau Pinang

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 21, 2021 13:00 MYT
Pesawat Boeing 747 Cargo Cathay Pacific CX-079 yang membawa tiga kotak vaksin itu mendarat sekitar pukul 5.35 petang di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. - Gambar Astro AWANI
BAYAN LEPAS: Sejumlah 16,000 dos vaksin COVID-19 jenis Pfizer BioNTech tiba di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada petang Ahad.
Pesawat Boeing 747 Cargo Cathay Pacific CX-079 yang membawa tiga kotak vaksin itu mendarat sekitar pukul 5.35 petang.
Ketibaan vaksin berkenaan disambut Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali bersama Exco Kesihatan Negeri, Dr Norlela Ariffin dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Asmayani Khalib
Sejurus mendarat, kesemua vaksin berkenaan dibawa ke tempat penyimpanan sementara di Kompleks Kargo dan dijangka dihantar ke dua Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di negeri ini pagi Isnin.
Sementara itu, Kon Yeow berkata, program suntikan vaksin ini merupakan fasa amat penting dalam usaha negara melawan pandemik tersebut.
Beliau berharap Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan itu akan berjalan lancar dan berjanji bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang akan memberi kerjasama serta sokongan terbaik kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam usaha memastikan pandemik ini berakhir.
Katanya, vaksin yang akan diberikan secara berperingkat itu akan memberi manfaat kepada 1.3 juta penduduk di negeri itu.
“Program ini telah membawa harapan untuk pemulihan dan saya amat berharap program vaksin ini akan berjaya dalam menyelamatkan nyawa,” kata Kon Yeow.
Dijangka 85 peratus penduduk negeri itu akan menerima suntikan vaksin menerusi tiga fasa bermula hujung bulan ini diikuti fasa kedua mulai 2 Mei manakala fasa ketiga pada 3 September.
Difahamkan terdapat 19 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) telah ditetapkan di negeri ini dengan sasaran fasa pertama penerimanya ialah 30,000 petugas barisan hadapan.
#vaksin' #COVID-19 #pulau pinang #Pfizer BioNTech #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Ketua Menteri #Chow Kon Yeow