NATIONAL
17 jalan di ibu negara, Putrajaya ditutup sempena lawatan Presiden Xi Jinping
Sebanyak 17 laluan utama di Lembah Klang dan Putrajaya akan ditutup atau dilencongkan sementara dari 15 hingga 17 April ini sempena lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia. - Gambar fail Reuters
KUALA LUMPUR: Sebanyak 17 laluan utama di Lembah Klang dan Putrajaya akan ditutup atau dilencongkan sementara dari 15 hingga 17 April ini sempena lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan, penutupan jalan secara penuh dan lencongan akan dilakukan selama 30 hingga 45 minit bagi memberi laluan kepada pergerakan delegasi negara tersebut.
Antara laluan yang terkesan termasuk Lebuh Raya ELITE, MEX, SUKE, NPE, KESAS, Smart Tunnel serta beberapa jalan utama di Putrajaya seperti Persiaran Selatan dan Lebuh Gemilang.
Jalan-jalan utama di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur juga terlibat.
Pada 15 April ini, penutupan akan bermula seawal jam 6 petang melibatkan laluan dari Lebuh KLIA hingga ke Jalan P5 Putrajaya.
Manakala pada 16 April, penutupan dijadualkan pada tiga waktu iaitu 9.30 pagi, 12.30 tengah hari dan 4.10 petang.
Pada 17 April pula, laluan terakhir akan ditutup bermula jam 8.50 pagi, melibatkan pergerakan dari Putrajaya ke KLIA.
Orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi arahan pihak polis yang bertugas.
Menurut Pengarah JSPT, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, seramai 378 pegawai dan anggota polis akan ditempatkan bagi mengiringi delegasi, mengawal lalu lintas dan memastikan kelancaran sepanjang lawatan berlangsung.
JSPT turut menyeru agar semua pengguna jalan raya memberikan kerjasama penuh dengan mematuhi arahan semasa, demi memastikan keselamatan dan kelancaran lawatan kenegaraan ini.
penutupan jalan, lawatan presiden china, xi jinping, trafik