Skip to main content

Malaysia

17 kawasan catat IPU tidak sihat pagi ini

PUTRAJAYA, 18 Sept - Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di Putrajaya telah mencatatkan tahap tidak sihat iaitu 174 pada jam 12 tengah hari tadi. Berikutan itu, penganjur acara POWERMAN Malaysia yang dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 20 September ini terpaksa membatalkan kategori POWERKIDS. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Putrajaya (gambar) dan Nilai masing-masing mencatatkan IPU tidak sihat pada bacaan 157 pagi ini. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 17 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat setakat 9 pagi ini, menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS).

Bacaan tertinggi dicatatkan di stesen pemantauan di Kapit dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian, Sarawak dengan masing-masing merekodkan bacaan 167 selain turut mencatatkan IPU tidak sihat ialah Sri Aman (161) dan Bintulu (159).

Kawasan lain di Sarawak yang turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah Miri dan Samarahan dengan bacaan 157, Sibu (156), ILP Miri (139) serta Limbang (102).

Selain itu, Putrajaya dan Nilai, Negeri Sembilan masing-masing mencatatkan bacaan 157 diikuti Seremban (154), Politeknik Kota Kinabalu, Sabah (153), Bukit Rambai, Melaka (151) dan Shah Alam, Selangor (149).

IPU tidak sihat turut direkodkan di Tangkak, Johor pada bacaan 107 manakala Kota Kinabalu, Sabah merekodkan bacaan 104.

Sementara itu, sebanyak 41 kawasan mencatatkan bacaan pada tahap sederhana manakala enam kawasan merekodkan bacaan baik.

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement