Skip to main content

Malaysia

17 pelajar Malaysia raih 22 pingat di KEO 2026, PM Anwar ucap tahniah

KEO
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada 17 pelajar Malaysia berjaya mengharumkan nama negara apabila merangkul 22 pingat dalam Koala Excellence Olympiad (KEO) 2026 Peringkat Antarabangsa di Macau. - Foto: Pertubuhan Saintis Muda Malaysia (MYSO)
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada 17 pelajar Malaysia yang berjaya mengharumkan nama negara apabila merangkul 22 pingat dalam Koala Excellence Olympiad (KEO) 2026 Peringkat Antarabangsa di Macau, yang berakhir semalam.

Anwar menerusi hantaran di platform Facebook berkata, kejayaan itu membuktikan kemampuan pelajar Malaysia untuk bersaing di peringkat antarabangsa dan perlu diteruskan pada masa hadapan.

“Tahniah anak-anak Malaysia yang catat keputusan cemerlang di bumi Macau. Tingkatkan usaha, moga catat lebih banyak kejayaan pada masa hadapan, insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, Penyelaras Pertubuhan Saintis Muda Malaysia (MYSO), Aidah Misran yang juga ketua kontinjen Malaysia ke Macau berkata keseluruhan kontinjen negara membawa pulang lima pingat emas, enam perak dan 11 gangsa.

Menurutnya, pertandingan anjuran KEO dan Miss Man International Group itu menghimpunkan pelajar dari pelbagai negara dalam empat bidang utama iaitu Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Seni.

KEO merupakan platform pertandingan antarabangsa yang dibangunkan pakar pendidikan Australia, merangkumi penilaian dalam bahasa Inggeris, matematik berasaskan penaakulan logik, sains melalui eksperimen serta seni melalui karya kreatif dan pernyataan artis.

Must Watch Video

Advertisement