MALAYSIA

18 keluarga mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights terima rumah siap dibina semula

Kabeer Aziz 04/12/2025 | 07:20 MYT
Majlis penyerahan kunci disempurnakan oleh Kor Ming di tapak projek di Kampung Kuala Sungai Baru hari ini. - Gambar/ KPKT
PUTRA HEIGHTS: Seramai 18 keluarga mangsa insiden kebakaran saluran paip gas di Kampung Kuala Sungai Baru, Putra Heights, 1 April lalu kini boleh menarik nafas lega apabila kediaman mereka siap dibina semula sepenuhnya.

Majlis penyerahan kunci disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, di tapak projek itu, hari ini.

Dalam satu kenyataan, Kor Ming berkata, projek pemulihan berkenaan dilaksanakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan peruntukan RM4.85 juta.

Kerja-kerja pembinaan bermula pada 3 Jun 2025 selepas surat lantikan rasmi dikeluarkan pada 7 Mei.

Dalam ucapannya, Kor Ming merakamkan penghargaan kepada SPNB atas pelaksanaan projek yang cekap serta menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Dalam majlis sama, beliau turut melancarkan Aplikasi MyRMR, inisiatif digital baharu bagi memudahkan permohonan dan pemantauan Program Rumah Mesra Rakyat (RMR).

SPNB juga mengumumkan kejayaan melepasi sasaran asal pembinaan 23,000 unit RMR bagi tahun 2025 dengan peruntukan RM1.92 bilion.

Kerajaan kemudian menambah peruntukan kepada RM2.13 bilion untuk membina 26,272 unit RMR. Sehingga Oktober 2025, sebanyak 74,957 unit RMR telah siap di seluruh negara.





#KPKT #SPNB #Putra Heights #Nga Kor Ming