[TERKINI] Kes Zayn Rayyan: Bapa Dibebaskan, Ibu Diperintah Bela Diri – Semak Laporan Penuh Di Sini
MALAYSIA

18 pasukan sertai pertandingan tarian singa dan naga di Melaka

Bernama 20/07/2025 | 21:45 MYT
Antara aksi akrobatik tarian singa yang dipamerkan pasukan yang mengambil bahagian sempena Pertandingan Tarian Singa dan Naga. - Foto BERNAMA
JASIN: Sebanyak 18 pasukan menyertai Pertandingan Tarian Singa dan Naga peringkat kebangsaan Piala YB Along 2025 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chiao Chee, Selandar di sini pada Ahad.

Pertandingan kali pertama dianjurkan pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Asahan itu disertai pasukan dari Kuala Lumpur, Johor, Selangor, Kelantan dan Melaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan berkata acara itu menjadi platform memupuk perpaduan dan menghargai seni budaya warisan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Tarian singa dan naga kini juga mempunyai peserta daripada kaum lain serta menjadi elemen perpaduan yang boleh diraikan. Acara seperti ini memberi peluang kepada masyarakat lain mengenali seni dan tradisi kaum Cina selain dapat menarik kehadiran pengunjung," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu, Fairul Nizam merasmikan pertandingan itu dan turut hadir Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.

Beliau memaklumkan hasrat untuk meneruskan penganjuran pertandingan itu berikutan sambutan diterima amat menggalakkan.

Pertandingan itu menawarkan hadiah wang tunai RM3,000 kepada johan, naib johan (RM2,000) dan tempat ketiga (RM1,000).

-- BERNAMA





#Pertandingan Tarian Singa dan Naga #SJKC Chiao Chee #Fairul Nizam Roslan #memupuk perpaduan