DREBAR
180 bandar mahu menjadi tuan rumah Formula E
Mengikut laporan daripada Autosport, pihak penganjur Formula E sudah mendapat tawaran oleh pihak berkuasa 180 bandar serata dunia untuk membawa kejohanan ini ke lokasi masing-masing. Bagi yang kurang arif, Formula E adalah kejohanan formula alaf baharu, dan salah satunya yang menggunakan jentera lumba menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.
Dari situ Formula E ada tarikan terutamanya untuk memberi imej bahawa pihak berkuasa memberi fokus kepada penjagaan alam sekitar. Kedua, kerana kereta-kereta lumba Formula E tidak menghasilkan bunyi yang bingit, ia sangat sesuai untuk diadakan di lokasi-lokasi lebih unik – seperti di tengah bandar. Pada 2014, iaitu tahun pertama kejohanan ini berlangsung, Putrajaya menjadi salah satu pusingan di dalam kalendar perlumbaan. Tahun ini, ia akan kembali pada bulan November nanti.

Mengikut Alejandro Agag, ketua pegawai eksekutif kejohanan Formula E, “Kami di dalam proses untuk menilainya dari segi keseluruhan.”
“Lebih dari 180 bandar sudah memohon untuk menjadi lokasi perlumbaan, dan banyak juga bersedia untuk membayar sejumlah wang yang besar untuk peluang ini."

“Kami mahu berlumba di pusat bandar dan menyampaikan mesej bahawa kereta elektrik adalah sesuai untuk keadaan urban.”
Di samping Putrajaya, Formula E juga berlumba di beberapa litar yang sudahpun mempunyai sejarah sebagai litar-dalam-bandar yang terkenal. Yang dimaksudkan adalah litar Long Beach (Amerika Syarikat) dan Monaco. Namun, Alejandro Agag juga memikirkan untuk ke Singapura.

“Litar Singapura tidak mempunyai sejarah perlumbaan yang panjang tetapi ia adalah lokasi yang baik dan menjadi hos untuk F1. Ia adalah satu kemungkinan, tetapi saya tidak melihat kepada pilihan selain itu,”tambah beliau, merujuk kepada penambahan litar-litar bersejarah lain.
Sebaliknya, Agag mahu Formula E untuk ke lokasi-lokasi baharu seperti Hong Kong, Paris dan Mexico.