180 individu ditahan ingkar PKP

Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu, 16 direman manakala 164 individu lagi dikenakan kompaun atas beberapa kesalahan.

Ismail Sabri berkata, seramai 16 orang direman manakala 164 individu lagi dikenakan kompaun atas beberapa kesalahan. - Gambar fail | Astro Awani
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 180 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai16 direman manakala 164 individu lagi dikenakan kompaun atas beberapa kesalahan.

"Ă„ntara kesalahan yang dilakukan termasuk terlibat dalam aktiviti kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 2,301 pasukan Task Force Operasi Pematuhan melibatkan 11,705 anggota membuat pemantauan di 3,489 pasar raya, 5,394 restoran serta 1,458 penjaja, 930 kilang, 3,550 bank dan 790 pejabat kerajaan.

Katanya,1,375 terminal pengangkutan darat, 278 terminal pengangkutan air serta 123 terminal pengangkutan udara telah dipantau.

Sementara itu, beliau berkata, tiga rakyat asing ditahan atas kesalahan Imigresen.

"PDRM telah membuat 61 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng (Op Benteng di seluruh negara dan memeriksa 31,184 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," tegasnya.