NILAI: Seramai 181 pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) selamat bertolak pulang ke kampung masing-masing di Kelantan dan Terengganu dengan menaiki bas universiti hari ini.

Mereka adalah kumpulan pertama yang dihantar pulang melalui inisiatif Program Pergerakan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Pulang Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri 2021 yang diumumkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi bermula 7 hingga 12 Mei.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Profesor Madya Mohd Rushdan Mohd Jailani, berkata secara keseluruhan seramai 1,979 pelajar yang berada di kampus terlibat dalam program pergerakan pulang itu.

"Daripada jumlah itu, seramai 538 orang memilih untuk pulang ke kampung menggunakan kenderaan universiti.

"Bahagian Hal Ehwal Pelajar menyediakan 18 buah kenderaan universiti iatu bas dan kenderaan pelbagai guna untuk menghantar kumpulan pelajar ini secara berfasa ke zon-zon yang telah dikenal pasti," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, pergerakan pelajar USIM pulang ke 12 negeri itu akan berlangsung selama selama empat hari bermula hari ini.

“Kumpulan pelajar ini akan bertolak dari Dewan Tuanku Canselor USIM mengikut jadual masa dan hari bertolak yang telah siap di susun oleh jawatankuasa khas yang kita bentuk bagi memastikan kelancaran operasi ini.

"Pada hari ini kita menghantar kumpulan pertama pulang Kelantan dan Terengganu dan alhamdulillah, proses ini berjalan lancar.

“Pergerakan terakhir adalah pada Selasa iaitu ke Perlis, Kedah dan Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata, kenderaan yang membawa pelajar ini akan berhenti di stesen-stesen bas utama yang telah dikenal pasti sebelum dijemput ahli keluarga.

Mengulas lanjut, katanya semua pelajar diwajibkan mendaftarkan maklumat mereka secara dalam talian di capaian khas yang disediakan dan mereka turut diberikan suratkebenaran rentas daerah dan negeri daripada USIM untuk rujukan pihak berkuasa.