Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 182 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dengan 18 daripadanya direman manakala 162 lagi dikenakan kompaun atas beberapa kesalahan.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri, kesemua mereka ditahan ketika pemeriksaan dan pemantauan Prosedur Operasi Standard Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKP).

"Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 67,113 pemeriksaan semalam (11 Ogos 2020) bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya dalam kenyataan media Pelaksanaan PKP pada Rabu.

PDRM juga telah melakukan 1,559 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing (home quarantine).

BACA: Lagi individu ditahan ingkar PKP, ini lima perkara penting kenyataan akhbar Ismail Sabri

"PDRM bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu-individu tebabit bagi memastikan SOP dipatuhi.

"Setakat ini, dua individu telah dikenakan tindakan kerana gagal mematuhi SOP home quarantine yang ditetapkan," katanya.

Tambahnya, PDRM telah membuat 70 sekatan jalan raya dalam Operasi Benteng di seluruh negara bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan berjaya menahan 10 individu atas kesalahan imigresen.