KUALA LUMPUR: Sebanyak 186 projek menaik taraf dan pembangunan semula sekolah yang mempunyai bangunan daif di Sarawak telah diluluskan sejak 2019 hingga 2021.

Timbalan Menteri Pendidikan II,  Datuk Mohamad Alamin berkata ia melibatkan kos berjumlah RM1.579 bilion

Jelas beliau, daripada jumlah tersebut, 75 projek diluluskan pada 2019 dengan kos berjumlah RM827.1 juta.

"Sehingga 22 September 2021, sebanyak 29 projek telah siap dibina, 41 projek sedang dalam pembinaan manakala lima projek lagi dalam fasa pra bina dengan perbelanjaan sebanyak RM168.45 juta," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) yang minta Menteri Kanan Pendidikan menyatakan berapa sekolah daif di Sarawak telah dinaik taraf dan dipulihkan dalam tahun 2019 hingga 2021, status pelaksanaan projek dan perbelanjaan masing-masing dan bilangan murid yang dimanfaatkan dengan usaha ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kimanis itu berkata, 52 lagi projek  telah diluluskan pada 2020, dengan kos berjumlah RM50 juta.

Setakat 22 September lalu, enam projek sedang dalam pembinaan, manakala 46 projek dalam peringkat pra bina dengan perbelanjaan sebanyak RM122,483.

"Manakala bagi tahun 2021, KPM telah diluluskan sebanyak 59 projek dengan kos berjumlah RM402.71 juta.

"Kesemua projek masih di peringkat pra bina dan tiada perbelanjaan dibuat setakat ini," katanya.

Tambah beliau, seramai 4,027 murid menikmati manfaat daripada 29 projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif yang telah siap.

Manakala, dijangka seramai 32,141 murid akan menerima manfaat daripada 157 projek yang masih dalam peringkat pembinaan dan pra bina, katanya.