[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
MALAYSIA

1,976 kes penipuan dalam talian direkod di Melaka babit kerugian RM65.9 juta

Bernama 16/12/2025 | 08:22 MYT
Statistik kes juga menunjukkan perubahan ketara daripada segi profil mangsa yang kini turut melibatkan golongan profesional. - Gambar hiasan/Bernama
MELAKA: Kes penipuan dalam talian di Melaka terus menunjukkan trend membimbangkan selepas 1,976 kes direkodkan membabitkan kerugian lebih RM65.9 juta bagi tempoh 1 Jan hingga semalam berbanding RM72 juta kerugian direkodkan sepanjang tahun lepas.

Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata dalam tempoh itu juga sebanyak 1,229 tangkapan dibuat membabitkan 740 pertuduhan.

"Peningkatan bilangan kes ini amat merisaukan memandangkan tempoh tahun ini masih berbaki, selain menunjukkan perubahan ketara daripada segi profil mangsa yang kini turut melibatkan golongan profesional.

"Jika sebelum ini kebanyakan mangsa terdiri daripada suri rumah dan penjawat awam, kini statistik menunjukkan mereka yang bekerja seperti doktor, pegawai bank, pengurus, peguam dan guru turut tidak terkecuali menjadi mangsa penipuan," katanya kepada pemberita di Sekolah Kebangsaan (SK) Duyong, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Program SWM Kasih Back to School dan menyampaikan bantuan keperluan persekolahan kepada 50 pelajar dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong.

Mohd Noor Helmy berkata penipuan itu melibatkan pelbagai modus operandi termasuk pelaburan tidak wujud, skim cinta (love scam), tawaran hadiah percuma serta cabutan bertuah yang akhirnya membawa mangsa mengalami kerugian besar.

Beliau berkata teknologi digunakan sindiket penipuan kini semakin canggih, licik dan bersifat berangkai, apabila mangsa yang terperangkap dalam satu skim akan disasarkan pula dengan skim lain termasuk pinjaman dalam talian, peguam palsu dan tawaran pemulihan kewangan.

"Kita berharap masyarakat mempunyai kesedaran dan tidak membuat keputusan secara tergesa-gesa supaya tidak terperdaya dengan pelbagai taktik penipuan yang boleh mengakibatkan kerugian," katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap penglibatan kanak-kanak dan remaja dalam penipuan berkaitan media sosial, termasuk kes yang diterima melibatkan kanak-kanak seawal lapan tahun yang terperdaya membeli barangan dalam talian dan menggunakan kad debit ibu bapa tanpa kebenaran.

Selain itu, pada tahun ini terdapat kes dilaporkan membabitkan pelajar sekolah berusia 17 tahun di Melaka kerugian hingga RM300,000 akibat terperdaya tawaran cabutan bertuah, bermula dengan penipuan kecil sebelum berlanjutan kepada penggunaan simpanan, kad debit keluarga dan pajakan barang kemas.

"Isu ini membuktikan kawalan teknologi sahaja tidak mencukupi tanpa pemantauan rapi ibu bapa selain peranan keluarga dalam mendidik anak-anak mengenai risiko penipuan digital.

"Kerajaan boleh menggubal undang-undang dan meningkatkan kesedaran, namun kawalan paling utama bermula dari rumah. Ibu bapa perlu peka terhadap tingkah laku anak-anak dan tidak memandang ringan penggunaan media sosial," katanya.

Dalam pada itu Mohd Noor Helmy berkata Melaka menyambut baik pelaksanaan semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai lebih lapan juta pengguna di Malaysia akan secara automatik dianggap berdaftar sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)] bermula 1 Jan depan.

Beliau berkata pentingnya keperluan kawalan terhadap platform media sosial yang tidak berdaftar, khususnya bagi membendung penyebaran penipuan, fitnah dan berita palsu yang boleh menjejaskan keselamatan serta keharmonian negara.

"Kawalan ini bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya memastikan platform berkenaan bertanggungjawab dan boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang," katanya.

-- BERNAMA

#penipuan dalam talian #scam #Melaka #mangsa kerugian #golongan profesional