GUA MUSANG: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) merekodkan sebanyak 199 kes wabak kudis buta berlaku dalam kalangan Orang Asli di Kelantan pada tahun lepas, kata Pengarahnya Datuk Dr Mohd Azman Yacob.
Beliau berkata jumlah terbabit melibatkan 185 kes di penempatan Pos Balar dan 14 kes lagi di Pos Belatim.
Advertisement
"Terdapat dua wabak kudis buta (skabies) dilaporkan berlaku dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Kelantan yang tinggal di kawasan pedalaman pada tahun lepas, dan skabies ini berpunca daripada hama yang menyebabkan kegatalan pada anggota badan.
"Ia juga boleh berjangkit melalui sentuhan kulit ke kulit, berkongsi pakaian, tuala, cadar, selimut dan tinggal serumah, asrama atau pusat jagaan," katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat dan Outreach Literasi Kesihatan Peringkat Gua Musang di Pos Hendrop, di sini hari ini.
Dr Mohd Azman berkata sejak 1 Jan lepas sehingga kini, sebanyak 80 kes wabak kudis buta dilaporkan di Pos Bihai, Pos Balar dan Pos Belatim.
Beliau berkata risiko wabak ini turut terjadi kepada masyarakat yang tinggal di kawasan bandar kerana apabila berlaku dalam kalangan orang dewasa, ia boleh bermula pada bahagian pergelangan tangan, ketiak, pinggang, pusat, punggung dan alat sulit.
"Jangkitan pada bayi pada bahagian muka, tapak tangan dan tapak kaki. Jika tidak dirawat, penyakit ini boleh menyebabkan jangkitan kuman sekunder (nanah dan luka), meninggalkan parut kekal, risiko penyakit buah pinggang akibat jangkitan kulit kronik.
"Kudis buta berkeruping (crusted scabies) pula sangat mudah berjangkit, dan berisiko tinggi kepada warga emas serta mereka yang mempunyai imun lemah," katanya.
Mohd Azman berkata langkah pencegahan bagi penyakit ini adalah dengan sentiasa menjaga kebersihan diri, pakaian dan tempat tidur dengan membasuh semua barangan yang digunakan menggunakan air panas.
Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya mengamalkan gaya hidup sihat dan membuat saringan kesihatan secara berkala.
-- BERNAMA