1MDB: 12 lukisan bernilai lebih USD30 juta akan dikembalikan kepada Malaysia - SPRM

Menurut SPRM, perkara itu dicapai dalam dua siri perbincangan rasmi bersama FBI serta USDOJ di Washington DC dan New York pada 9 dan 11 Dis lepas. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Sejumlah lukisan bernilai tinggi dikaitkan dengan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang kini berada di bawah kawalan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (USDOJ), akan dikembalikan kepada Malaysia.
Ringkasan AI
- Lukisan bernilai tinggi yang dikaitkan dengan skandal 1MDB akan dikembalikan kepada Malaysia setelah perbincangan rasmi antara SPRM, FBI, dan USDOJ di Washington DC dan New York.
- Antara karya seni terkemuka yang akan dikembalikan termasuk lukisan oleh Pablo Picasso, Joan Miro, William H. Bailey, Alexander Calder, dan Henri Matisse.
- FBI dan USDOJ menegaskan komitmen untuk bekerjasama dengan SPRM, AGC, dan NFCC bagi jejak, sita, dan pulihkan aset 1MDB yang masih berada di luar negara.
SPRM memaklumkan antara karya seni terkemuka yang dikenal pasti ialah L'Ecuyere et les clowns oleh Pablo Picaso (1961), Composition oleh Joan Miro (1953), Still Life oleh William H. Bailey (b.1930), Studies for Sculpture oleh Alexander Calder (1898-1976) dan Femme Assise oleh Henri Matisse (1869-1954).
"Hasil perbincangan ini, SPRM bersetuju untuk mengembalikan lukisan ini kepada Malaysia," katanya.
Menurut SPRM, turut dibincang ialah isu penyanyi rap Pras Michel di AS yang dijatuhi hukuman penjara 14 tahun kerana menerima USD120 juta, sebahagian daripadanya dikaitkan dengan 1MDB dan syarikat cangkerang 1MDB.
"Pihak USDOJ juga memaklumkan masih terdapat aset-aset milik Jho Low di Singapura yang tidak termasuk dalam Perjanjian Penyelesaian AS," menurut kenyataan itu.
SPRM turut memaklumkan bahawa aset di Hong Kong, Singapura serta Perancis telah dilupuskan, dan hasilnya akan dipindahkan ke AS.
"FBI dan USDOJ menegaskan komitmen penuh terhadap kerjasama rentas sempadan sertakoordinasi antarabangsa dengan SPRM, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dipertingkat bagi memastikan semua aset yang masih berada di luar negara dapat dijejak, disita dan dipulihkan mengikut undang-undang," katanya.
Lawatan ke AS itu diketuai Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin dan turut dihadiri Ketua Pengarah NFCC Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil dan Timbalan Pendakwa Raya AGC Norinna Bahadun.
Sesi perbincangan di Ibu Pejabat FBI dan USDOJ itu bertujuan mengeratkan kolaborasi di peringkat global antara kedua-dua agensi selain memperkukuh kerjasama penyiasatan, proses bantuan perundangan serta usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB yang masih berada di luar negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


