KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Mohd Hazem Abdul Rahman memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa syarikat itu telah membayar agensi berita antarabangsa Bloomberg untuk menyenaraikan satu daripada dananya untuk meningkatkan persepsi orang ramai terhadap portfolio pelaburan.

Mohd Hazem, 49, berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Tania Scivetti yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak, pada perbicaraan bekas perdana menteri itu berhubung penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Saksi pendakwaan ke-10 itu bersetuju dengan cadangan peguam bahawa penyenaraian Bridge Global Absolute Return Fund (BGARF) di Bloomberg akan meningkatkan isu legitimasi portfolio itu.

Dilaporkan pada 2016 bahawa 1MDB telah memilih Bridge Partners Investment Management (Cayman) Ltd untuk menguruskan wang tunai US$2.3 bilion (RM7.67 bilion). Wang itu telah dilaburkan dalam BGARF, sebuah syarikat portfolio berasingan (SPC) yang berdaftar di Kepulauan Cayman.

Mohd Hazem merujuk kepada minit mesyuarat lembaga pengarah yang pengerusi 1MDB telah mengulas mengenai persepsi buruk terhadap dana itu.

Saksi itu bersetuju bahawa beliau telah menenangkan pengerusi dalam mesyuarat itu dan berkata persepsi itu akan bertambah baik apabila BGARF disenaraikan di Bloomberg.

Scivetti: Bloomberg adalah nama besar dan mempunyai platform untuk meletakkan data kewangan syarikat, itulah sebabnya penting untuk disenaraikan di Bloomberg.

Mohd Hazem: Ya.

Scivetti: Jika anda tersenarai di Bloomberg, ia akan memberikan legitimasi kepada dana dan akan menyelesaikan isu kesahan.

Mohd Hazem: Ya.

Scivetti: Saya tahu, ia tidak sukar untuk disenaraikan. Apa yang anda perlu lakukan ialah membayar sedikit yuran langganan, yang sama sekali tidak mahal. Ia adalah semudah itu. Bloomberg tidak mengesahkan apa yang dikatakan oleh syarikat untuk disenaraikan. Anda bayar mereka, mereka akan menyenaraikannya.

Mohd Hazem: Saya tidak tahu. Saya tidak boleh menjawab bagi pihak Bloomberg.

Scivetti kemudian mencadangkan bahawa disenaraikan di Bloomberg tidak menjamin terdapat sebarang nilai dalam syarikat tersebut, yang mana Mohd Hazem menjawab: "Ya, setakat tertentu."

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin.

-- BERNAMA