1MDB: Bekas pegawai khas kepada Najib direman tujuh hari

Bernama
Jun 25, 2018 03:37 MYT
Bekas pegawai khas kepada Najib dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan kes berkaitan 1MDB hari ini. - BERNAMA
Bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes 1Malaysian Development Bhd (1MDB).
Perintah tahanan reman terhadap 'Datuk' itu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini hari ini sehingga 1 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Suspek tiba di perkarangan mahkamah di sini kira-kira 9.15 pagi berpakaian lokap SPRM berwarna oren dengan tangan bergari.
Sebelum ini, lelaki berumur 42 tahun itu dipanggil untuk diambil keterangan sebelum ditahan kira-kira 9.45 malam di ibu pejabat SPRM semalam.
Beliau pernah berkhidmat dengan Bank Negara sebelum dilantik sebagai pegawai khas kepada Najib pada 2009. Beliau meletakkan jawatan pada 5 Jun lepas.
-- BERNAMA
#1MDB #Khazanah #mahkamah #Najib Razak #pegawai khas #Putrajaya #Rasuah #reman #SPRM #suspek